Tuesday, 30 October 2012

6 Rendah cambridge 2012. Drama Asiah Samiah.


Petikan  tulisan Ku Seman Ku Hussain bertajuk "Naskhah pemikiran Johan" bertarikh 8/7/12.



............ naskhah Asiah Samiah adalah karya terbaru yang dihasilkan tahun 2000 dan ditulis di ladang pisangnya di Sungai Lembing dan Gambang, Pahang. Ini adalah pasca pergolakan politik antara Perdana Menteri Dr. Mahathir dengan Timbalannya, Anwar Ibrahim. Johan tersepit di tengah-tengah dan mengambil keputusan "membuangkan" diri dari gelanggang politik dan menjadi penanam pisang. Semasa rehat di celah-celah pokok pisang itulah Johan menulis Asiah Samiah.

Tetapi secara peribadi Asiah Samiah tidak boleh menandingi Kotaku Oh Kotaku atau Angin Kering. Barangkali ini disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi Johan ketika menghasilkan Asiah Samiah. Daripada seorang aktivis teater, Johan mengepalai media arus perdana kemudian tersepit dalam politik yang sebenarnya bukan bidang beliau. Johan telah terkeluar dari milieu gelandangan 1970-an.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120708/sa_04/Naskhah-pemikiran-Johan#ixzz2Amb4Xq7N
© Utusan Melayu (M) Bhd


Latar

Tempat = Mana mana
Waktu = Bila-bila

Babak 1
Kisah Asiah Samiah tua dengan Marga tua selama 15 tahun. Marga tua menganggap Asiah Samiah setengah gila dan beliau tidak sanggup untuk melayani karenah Asiah Samiah.. Marga tua membenci Asiah Samiah tetapi pada masa yang sama mengiktiraf dirinya yang bijak dan bersimpati dengan dirinya.


Babak 2
Asiah Samiah masih muda (anak dara). Tuan Setiawan Tanjung mencari anaknya Asiah Samiah. Beliau bertengkar dengan tukang kebunnya Sari Saribiru. Kemudian diikuti dengan bicara Marga tua tentang Asiah samiah pada masa muda remaja. Gambaran Asiah Samiah masa muda dilihat sendiri oleh Asiah Samiah pada masa tua.

Babak 3
Marga tua berbicara tentang kisah silam termasuklah tentang Misa Sagaraga yang sudah berjaya dalam hidup. Misa Sagaraga seorang yang kaya raya begitu aktif menjual saham syarikat-syarikat besar. Jualan sahamnya meliputi pelbagai syarikat. Selayaknya dia menjadi kaya kerana tindakannya dalam jual beli saham. Aktiviti jual beli sahamnya ada yang berpunca daripada sumber yang haram.

Diikuti pula nasihat Siti Bunirah Pak Leh kepada Asiah Samiah selaku anak dara supaya menjaga diri baik-baik.

Babak 4
Marga Muda : Seorang penganggur yang dahulunya bekerja dengan penuh setia kepada majikannya selama 20 tahun.

Marga Muda berbicara dengan Anas Samanda tentang isu rumah dan tanah ibu bapa Anas Samanda yang ingin dirampas untuk dibina kondominium oleh seseorang yang dianggap lintah darat. Tanah yang diduduki sekian lama itu masih dianggap tanah haram dan akan dimiliki oleh orang yang datang kemudian.

Marga Muda meminta Anas Samanda akur dengan permintaan pemaju namun Anas Samanda enggan. Marga Muda menceritakan kisah hidup bapanya yang telah dianggap penjenayah kerana memperjuangkan tanah tempat tinggalnya. Bapanya dipenjara manakala keluarganya hidup sengsara. Jiran sebelah rumah yang menikmati hidup senang lantaran perjuangan bapanya pula tidak membantu keluarganya.

Babak 5
Perbualan antara Asiah Samiah Muda dengan Sari Saribiru. Asiah Samiah mohon pertolongan kepada Sari tetapi beliau tidak mahu memberikan pertolongan. Misa Sagaraga lebih berpengaruh untuk memiliki Asiah Samiah berbanding Anas Samanda. Misa Sagaraga mempunyai kuasa wang dan harta sedangkan Anas Samanda miskin tidak berharta.


Babak 6

Puan Suari Alimin          : Ibu Asiah Samiah
Tuan Setiawan Tanjung : Bapa Asiah Samiah.

Misa Sagaraga bagaikan dewa pemberi kurnia. Apa sahaja permintaan orang kampung dapat ditunaikan olehnya. Misa Sigaraga mampu mengurniakan jalan, cakruk, peluang kerja, lesen kontraktor dan lain-lain lagi.

Puan Suari Alimin, ibu kepada Asiah Samiah begitu bangga dengan bakal menantunya. Ibu dan bapa Asiah berharap anaknya dapat menerima Misa Sagaraga sebagai suami. Asiah Samiah membantah dan menyatakan bahawa kebahagian bukan ditentukan oleh kemewahan harta tetapi hati dan perasaan. Asiah Samiah sentiasa menunggu kepulangan dan pertolongan Anas Samanda bagai orang gila.

Babak 7

Marga Tua berbicara tentang pengalaman hidup dan menjadi saksi kepada masalah manusia di persekitaran hidupnya. Masalah itu adalah masalah Anas Samanda, Asiah Samiah dan Misa Sagaraga. Kisah Asiah Samiah yang enggan berkahwin dengan Misa Sagaraga. Kehidupan Asiah menjadi suram dan tidak menentu. Pada masa yang sama Marga Tua mengkagumi Misa Sagaraga yang bernasib baik menjadi orang kaya. Gaya hidup Misa Sagaraga sangat mewah dan cuba menjadikan Asiah Samiah yang hidup ala kampung menjadi seorang yang moden dan menggunakan fesyen terkini. Asiah Samiah merintih dan mengenng kisah hidupnya yang malang kerana dijodohkan dengan Misa Sagaraga. Kisah Asiah Samiah terpaksa meninggikan suara membantah cadangan ibubapanya yang mahukan dirinya berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya. Asiah sentiasa terkenang kekasihnya Anas Samanda yang telah pergi meninggalkan Asiah tanpa khabar berita.

Babak 8

Sari Saribiru, Siti Bunirah dan Pak Leh Lak Lak saling berdialog antara satu sama lain tentang hak ke atas hasil usaha mereka. Semuanya telah dirampas dan menjadi milik Misa Sagaraga. Bagi Asiah Samiah pula mengalami nasib yang lebih menyakitkan. Dirinya telah dimiliki secara paksa oleh Misa Sagaraga tanpa kasihan belas. Lalu lahirlah zuriat daripada hubungannya dengan Misa Sagaraga yang bernama Laila Anurisah yang beliau benci.


Babak 9

Laila Anurisah lahir tetapi ditinggalkan oleh ibunya. Ibunya, Asiah Samiah menjadi tidak siuman dan Misa Sagaraga juga membenci anak kecil itu. Laila telah diusir dan Marga telah mengambil dan memelihara anak itu.

Anas Samanda yang lama menghilangkan diri tiba-tiba muncul dengan semangat perjuangannya yang ingin menegakkan ketidakadilan. Perjuangan beliau adalah melampaui tentangannya keatas Misa Sagaraga iaitu memerangi sistem, nilai dan minda. Bagi Anas, masalah Asiah dan Laila Anurisa adalah masalah kecil. Perjuangannya lebih besar daripada itu. Marga tidak mampu mempertahankan Laila, akhirnya Laila Anurisah disiksa dan hilang entah kemana dan.

Babak 10
Anas Samanda telah mati dalam perjuangan kerana dihukum mati. Marga pula terpenjara kerana hadir dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh Anas Samanda. Walaupun beliau hadir untuk menunjukkan Laila Anurisah kepada Anas namun beliau dianggap bersimpati dan menyokong perjuangan Anas Samanda. Setelah keluar dari penjara, Marga terpaksa pula mendengar rintih pilu cerita Asiah Samiah. Drama ini diakhiri dengan kemunculan semula anak Asiah Samiah iaitu Laila Anurisa yang sudah remaja. Laila yang disangkakan sudah mati di tangan ayahnya (Misa Sigaraga), sebenarnya masih hidup kerana diselamatkan oleh Pak Leh dan Siti Bunirah. Laila telah diselamatkan dan dibawa lari ke luar negara. Laila telah bertemu Marga tua dan mengucapkan terima kasih kepada Marga kerana telah menjaga dirinya ketika kecil. Asiah Samiah pula dikhabarkan sudah meninggal dunia.



Analisis karya.

Watak

1. Asiah Samiah
Seorang yang cantik. Anak kepada Tuan Setiawan Tanjung dan  Puan Suari Alimin . Perempuan yang kecewa kerana cintanya terhalang. Cintanya hanya kepada Anas Samanda, namun cintanya tidak kesampaian. Berkahwin dengan Misa Sagaraga kerana menunaikan permintaan ibubapanya. Asiah Samiah tidak mencintai Misa Sagaraga. Mempunyai anak bernama Laila Anurisah namun tidak mampu membesarkan anaknya lantaran menghadapi masalah mental.

2. Anas Samanda
Seorang yang dicintai oleh Asiah Samiah, namun beliau lebih cenderung memperjuangkan hak diri dan keluarga. Pernah ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya beliau mati dibunuh.

3. Marga
Seorang yang sudah tua dan sedang mengingat kisah lampau kehidupannya. Menjaga Asiah Samiah ketika kecil.

4. Misa Sagaraga.
Seorang yang kaya raya. Berkahwin dengan Asiah Samiah dan mendapat seorang anak bernama Laila Anurisah. Anaknya diabaikan dan dijaga oleh Marga. Manakala Asiah Samiah lari daripada cengkaman Misa Sagaraga. Digambarkan sebagai seorang yang zalim dan menindas. Cuba memiliki harta sebanyak mungkin yang boleh. Aktif membeli saham-saham mewah dan menguasai syarikat besar. Malah dia cuba merampas hak orang lain dengan kuasa yang ada atas nama pembangunan. Mempunyai kuasa besar keatas penduduk negara. Kekayaan telah menyebabkan Misa Sagaraga lupa diri. Beliau menganggap bakal isterinya (Asiah Samiah) seorang yang kolot dan perlu diubah penampilannya. Beliau sangat mementingkan barang-barang berjenama dari luar negeri kerana beliau mampu memilikinya




Teknik Penulisan Drama

Drama ini mengunakan banyak teknik imbas kembali. Maksud imbas kembali ialah menurut kamus dewan ialah : bahagian cerita filem, novel, dsb yg memperlihatkan semula peristiwa-peristiwa yg terdahulu: beliau menggunakan teknik ~, igauan, dan mimpi-mimpi ngeri; mengimbas kembali membayangkan sesuatu atau melihat kembali dlm fikiran: dia ~ detik perkenalannya dgn suaminya sekarang.



 Drama ini dimulakan dengan watak Marga yang sudah tua sedang mengingat kisah lampau yang pahit tentang  kehidupan Asiah Samiah. Pada babak dua diamarkan kisah kehidupan Asiah ketika muda yang hidup senang bersama keluarganya. Tuan Setiawan Tanjung dan isterinya Puan Suari Alimin mempunyai orang gaji bagi menjaga Asiah. Kehidupan Asiah sentiasa dipantau melalui orang gajinya.


Pemikiran Drama

1. Darjat dan pangkat
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah. Orang kaya hanya boleh berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka.

2. Kahwin Paksa.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga secara paksa. Lalu anak yang telah beliau lahirkan tidak diasuh dengan sempurna lantaran dirinya menghadapi masalah mental.

3. Penindasan golongan yang dianggap berkuasa.
Misa Sagaraga merampas harta milik Anas Samanda.

4. Manusia berkuasa kerana harta dan kedudukan.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara paksa. Dirinya dipandang orang kerana harta.

5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda walaupun telah dipenjarakan.

6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap anaknya Laila Anurisa. Membiarkan anaknya dipelihara orang lain.

7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Marga pula terpaksa menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment