Monday 1 April 2013

PEMBANGUNAN MASYARAKAT - SDBKL



 PEMBANGUNAN MASYARAKAT
2.2          SOSIAL
2.2.1      BUDAYA
Kehendak sukatan KMK:
Calon seharusnya dapat;
(a) Mengenal pasti dan menghubungkaitkan budaya setempat dalam kehidupan seharian

Takrifan & Skop Budaya:
“…rangkuman segala aspek hidup manusia, baik dalam bentuk fikiran, kepercayaan, perlakuan ataupun penghasilan dalam sesuatu masyarakat yang diterima oleh sebahagian besar serta anggotanya dan mewarisinya turun-temurun. Dengan perkataan lain kebudayaan termasuklah bentuk sosial, politik, adat dan istiadat sesebuah serta ekonomi  sesebuah negara masyarakat.”
(Harun Daud, Sejarah Melayu, satu kajian daripada aspek Persejarahan Budaya, DBP, 1989. Hlm.8)


SOALAN RANGSANGAN SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR (SBDKL) – BUDAYA

SOALAN 1:
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur jelas memaparkan masyarakat  Melayu baik yang mendiami desa mahupun yang mendiami kota, masih kuat berpegang kepada budaya dan tradisi masyarakat Melayu yang menjadi amalan warisan turun temurun. Ulaskan penyataan ini.
[ 25 markah ]

SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)
·         Budaya dan tradisi masyarakat Melayu seperti yang digambarkan menerusi novel SBDKL jelas memperlihatkan keterikatan dan pautan masyarakat Melayu dengan adat istiadat dan budaya Melayu yang menjadi amalan seharian mereka sama ada yang tinggal di kota mahupun desa.
·         Antara budaya dan tradisi masyarakat Melayu yang dapat dikesan dalam novel SBDKL ialah mementingkan hubungan kekeluargaan, mengekalkan makanan tradisional Melayu, budaya kunjung mengunjung, membawa buah tangan, meningkatkan hubungan ukhuwah (persahabatan) menerusi fungsi masjid dan surau, mengekalkan gelaran atau panggilan hormat sesama anggota keluarga atau gelaran pangkat seseorang, melayan tetamu, dan sebagainya.
·         Budaya dan tradisi Melayu ini dalam sesetengah keadaan dianggap punca dan penghalang  kemajuan dan menimbulkan perbalahan atau konflik antara sesama kelompok masyarakat

F1: Mementingkan hubungan kekeluargaan
F2: Mengekalkan makanan tradisi Melayu
F3: Budaya kunjung mengunjung
F4: Budaya menyapa dan bertanya khabar
F5: Berniaga berorientasikan skala kecil
F6: Budaya berderau (gotong royong) majlis kenduri kendara
F7: Menjadikan masjid atau surau sebagai tempat menjalani ibadah dan merapatkan ukhuwah (persahabatan)
F8: Penentuan/pemilihan jodoh atas restu orang tua
F9: Melayan tetamu dengan baik
F10: Menjaga adab sopan dalam tingkah laku dan pertuturan
F11: Memanggil gelaran hormat dan pangkat berdasarkan faktor hubungan nasab/keturunan, umur, kedudukan dalam masyarakat
F12: Pekerjaan berlatar belakangkan warisan/tradisi generasi terdahulu
F13: Mementingkan semangat kejiranan
F14: Mementingkan adat istiadat dilaksanakan mengikut tradisi Melayu dan agama Islam
F15: Percaya kepada perkara khurafat /kuasa-kuasa lain selain Tuhan (tafsiran mimpi/alamat buruk)
F16: Menghormati/menyanjung isntitusi Raja

* Pilih mana-mana 5 isi sahaja. (5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah --- 20 markah)
** Huraian + Contoh : Mohon guru mengembangkan idea dengan inisiatif sendiri.

Kesimpulan: (2 markah)

·         Masyarakat Melayu yang mendiami kota dan desa berdasarkan novel SBDKL masih utuh mengamalkan tradisi dan budaya Melayu.
·         Namun demikian, ada juga watak-watak tertentu yang mewakili kelompok Melayu memecahkan tradisi dan budaya Melayu dengan melonggarkan/mengabaikan/meninggalkan budaya dan amalan masyarakat Melayu. Etc: Mat Akil – tidak beradab sopan, kasar, tidak menghormati orang yang lebih tua, menghina dan menganiayai golongan agama dsb.


SOALAN 2:
Budaya niaga masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina ketara berbeza seperti yang diungkapkan oleh Keris Mas menerusi Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Jelaskan penyataan ini dengan mengemukakan bukti dan contoh yang tepat.
[ 25 markah ]

SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)

·         Pemikiran “bisnes” / pemikiran niaga antara masyarakat Melayu (Peniaga Melayu) dengan masyarakat Cina (Peniaga Cina) sememangnya ketara berbeza.
·         Perniagaan orang Melayu terikat dengan batas/syariat agama manakala masyarakat Cina masih mementingkan nilai moral namun lebih mengutamakan keuntungan (profit based).
·         Perbezaan budaya niaga orang Melayu dengan orang Cina ada kaitan dengan budaya dan prinsip, latar belakang pendidikan, latihan dan pendedahan, perancangan strategik, modal kekuatan persatuan dan sebagainya.




Isi-isi Penting:

F1: Orang Melayu lebih memilih perniagaan berasaskan warisan turun temurun manakala orang Cina lebih gemar menjalankan perniagaan yang berbentuk “penerokaan baharu”
HC1: Jika mengusahakan perniagaan warung –  biasanya waris akan menyambung usaha bapa/generasi awal. Contoh: Pak Salim
HC2: En. Muhammad  sendiri ingin mengembalikan legasi perniagaan bapa dan datuknya mengusahakan lombong bijih timah walaupun pada masa yang sama beliau sudah ada anak syarikatnya sendiri yang berstatus enterprise yang bernaung di bawah syarikat Datuk Tan Enterprise.

F2: Orang Cina lebih suka mempelbagaikan jenis perniagaan manakala orang Melayu cenderung menjalankan perniagaan tipikal Melayu yang berbentuk stereotaip (sama).
HC1: Datuk Tan Chong Seng selain mempunyai estet getah (180 ekar Pekan Tualang…hlm.11) juga mahu perniagaannya bersama-sama dengan Encik Muhammad diperluaskan kepada perniagaan import eksport lada hitam ke pasaran tempatan dan Jerman. Beliau juga mempunyai agenda untuk menghidupkan semula legasi lombong bijih timah yang pernah diusahakan oleh datuknya bersama-sama dengan mendiang datuk, Datuk Tan Chong Seng.

F3: Orang Melayu suka perniagaan yang tidak berisiko atau kurang berisiko manakala orang Cina berani mengusahakan perniagaan yang berisiko dan berisiko tinggi
HC1:  Berdasarkan novel SBDKL banyak memaparkan perniagaan orang Melayu yang tidak berisiko tinggi seperti membuka gerai jualan makanan dan minuman, peraih ikan dan menjual ikan di pasar, mengusahakan perniagaan atap dan lain-lain.

F4: Orang Cina gemar perniagaan yang bersifat Glokal / Domestik dan Antarabangsa (Global and Local Based) manakala orang Melayu kurang mempunyai perancangan bisnes bersifat antarabangsa
HC1: Walaupun idea banyak yang muncul daripada Encik Muhammad yang ingin mengadakan dagangan lada hitam dengan syarikat Tuan Von Braun dari Frankfurt, Jerman namun pemikiran dan idea itu sudah ada dalam kotak pemikiran Datuk Tan (hlm.8)
HC2: Datuk Tan begitu yakin dan positif dengan langkah proaktif Encik Muhammad melakukan perbincangan dan rundingan secara intensif (giat) dengan rakan niaga dari Frankfurt, Jerman itu.

F5: Orang Melayu gemar perniagaan berbentuk kecil-kecilan dengan modal yang terhad manakala orang Cina gemar kepada perniagaan yang berskala besar dengan modal yang besar serta mengambil untung berdasarkan untung atas angin (komisen)…(hlm.5)
HC1: Walaupun idea itu kebanyakannya datang daripada idea Encik Muhammad, namun Datuk Tan seolah-olah mahu menguji kebijaksanaan Encik Muhammad untuk memaparkan strategi bisnesnya. Buktinya dia tahu ke mana matlamat dan hala tuju pemikiran bisnes Encik Muhammad yang dilihatnya bertepatan dengan idea dan kehendaknya. Bukti lain, Datuk Tan tidak menghalang/membantah idea Encik Muhammad untuk mengambil untung perniagaan menerusi “untung komisen”.

F6: Orang Melayu gemar mengambil jalan singkat dengan berperanan sebagai broker atau agen atau orang tengah dalam perniagaan dan bukannya sebagai pemain utama (key players) dalam perniagaan
HC1: Yang Berhormat Mohd Yusof mempunyai agenda secara tersirat mempengaruhi Penghulu Mahmud untuk membenarkan Encik Chan mengusahakan tanah milik Penghulu Mahmud dan warisnya (Encik Muhammad dan adik beradik yang lain) di Jeram Medang untuk dijadikan kawasan perumahan. Hasilnya beliau akan menerima komisen yang lumayan daripada Encik Chan.
HC2: Sudin gemar menjadi “broker kereta” dan “broker tanah” walaupun telah berkecimpung agak lama dalam perniagaan ini, sebaliknya lebih gemar memperoleh untuk yang minimum /sedikit hasil jualan kereta dan tanah dan bukannya mahu menjadi pengusaha kedai jualan kereta terpakai atau menjadi broker tanah berlesen.

F7: Orang Melayu gemar berjoli dengan hasil untung perniagaan yang diperoleh tetapi sebaliknya orang Cina gemar mengumpul dana sedikit demi sedikit untuk agenda dan perancangan perniagaan masa hadapan yang lebih mencabar.
HC1: Datuk Tan menyimpan wang sedikit demi sedikit sehingga berjaya membeli tanah seluas 180 ekar di Pekan Tualang dan mengusahakan ladang/estet getah. Dari situ dia berganjak dengan menubuhkan perniagaan enterprisenya dan perniagaan-perniagaan yang lain.
HC2: Sudin sering berjoli dengan wang hasil komisennya sebagai broker tanah. Dia sering ke Genting Highland dan sering kalah judi. Dia tidak mempunyai agenda khusus untuk menyimpan wang bagi mengusahakan perniagaan yang dipeloporinya itu.

F8: Orang Melayu sesetengahnya mempunyai pemikiran tinggi  untuk melangkah jauh dalam bidang perniagaan tetapi mempunyai kekangan dari segi syariat (agama), pembahagian harta pusaka (hukum faraid), faktor insaniah (faktor kemanusiaan) dan sebagainya. Peniaga Cina kurang menghadapi kekangan untuk melangkah jauh dalam bidang perniagaan.
HC1: Encik Muhammad walaupun punya wawasan perniagaan yang jauh tetapi terpaksa berhadapan dengan seribu satu halangan. Antaranya, tanah di Jeram Medang dan Kampung Pulai terikat dengan hak pembahagian harta pusaka (adik beradiknya: kesemuanya telah meninggal kecuali Penghulu Mahmud dan dirinya yang masih hidup). Anak saudaranya pula (pewaris harta iaitu anak-anak kakaknya (3 orang kakaknya yang telah meninggal dunia) memohon saham perniagaan sekiranya tanah yang hendak diusahakan Encik Muhammad untuk dijadikan perusahaan lombong bijih timah itu menjadi kenyataan. Encik Muhammad tidak boleh memonopoli tanah milik keluarganya secara total dan personal. Hal ini merupakan halangan besar kepada dirinya.

F9: Orang Melayu/peniaga Melayu kurang mempunyai perancangan strategik dalam perniagaan berbanding dengan orang-orang Cina atau peniaga Cina.
HC1: Orang Cina/peniaga Cina bijak mengatur strategi mempergunakan orang-orang Melayu untuk mencapai hasrat perniagaan mereka. Misalnya Encik Chan bijak mempergunakan YB Muhd Yusuf dan Sudin untuk mempengaruhi Penghulu Mahmud untuk menjalankan usahasama membangunkan kawasan perumahan di Jeram Medang menggunakan tanah milikan keluarga Penghulu Mahmud. Gambaran ini jelas, kerana Encik Chan tidak mahu dirinya dikenali sebagai pemaju yang akan mengusahakan kawasan perumahan tersebut.
HC2: Begitu juga Datuk Tan mempnyai kekuatan akses mempergunakan bakat dan kemahiran Encik Mhammad untuk memastikan Penghulu Mahmud atau Encik Muhammad mendapat gelaran Orang Kaya agar Sultan akan menjadi pendokong (back-up) utama perniagaan lombong bijih timah yang akan diusahakan oleh mereka nanti.

* Pilih mana-mana 5 isi sahaja. (5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah --- 20 markah)
** Huraian + Contoh : Mohon guru modified / edit menggunakan inisiatif sendiri.

Kesimpulan: (2 markah)

·         Pemikiran bisnes antara orang Melayu/peniaga Melayu  dengan pekmikiran bisnes orang Cina / Peniaga Cina ternyata berbeza.
·         Orang Cina / peniaga Cina ternyata berjaya melangkah jauh dalam bidang perniagaan / maju dalam bidang perniagaan kerana mempunyai persiapan yang rapi dari sudut ilmu berniaga, berfikir di luar kotak, berani berdepan dengan risiko, berperancangan dan berstrategi, suka meneroka bidang perniagaan yang baharu, tidak menghadapi kekangan yang serius dari segi agama, tuntutan harta warisan dan sebagainya. Hal ini berbeza dengan orang Melayu/peniaga Melayu.


SOALAN-SOALAN TAMBAHAN UNTUK PERBINCANGAN


SOALAN 3:
Encik Muhammad bin Idris merupakan watak protagonis dalam Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Beliau mempunyai visi yang jelas dan berhasrat untuk melakukan anjakan bagi mengubah nasib penduduk Kampung Pulai menerusi projek lombong bijih timah yang mahu diusahakannya. Namun demikian pemikiran dangkal sesetengah masyarakat kampung yang memandang serong akan usahanya itu telah mencetuskan konflik dengan penduduk kampung.

Bincangkan, sejauh manakah beliau berjaya mengubah mentaliti masyarakat kampungnya dalam konteks kemajuan Kampung Pulai.
[ 25 markah ]


SOALAN 4:
Kekangan adat merupakan faktor utama yang menghalang impian Encik Muhammad bin Idris merealisasikan cita-citanya untuk membangunkan masyarakat Kampung Pulai.  Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini. Bincangkan.
[ 25 markah ]


SOALAN 5:
Gaya hidup masyarakat bandar ketara berbeza dengan gaya hidup masyarakat desa atau kampung. Berdasarkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur;
(a)    bincangkan perbezaan gaya hidup masyarakat bandar dengan gaya hidup masyarakat desa.
(b)   sejauh manakah masyarakat kota dapat menyesuaikan gaya hidup masyarakat kampung.
[ 25 markah ]


1 comment: