2. PEMBANGUNAN MASYARAKAT :
TEKS SULALATUS SALATIN (SS) - MOBILITI
2.2 SOSIAL
2.2.3 MOBILITI
Kehendak sukatan KMK:
Calon seharusnya dapat;
(a) Menghuraikan mobiliti sosial dalam
pembangunan masyarakat
Takrifan &
Skop Mobiliti Sosial:
“Konsep mobiliti sosial merujuk kepada
proses seseorang watak/individu berubah atau bergerak posisi atau kedudukan
mereka daripada satu tahap ke tahap yang lain sama ada secara menurun atau
menaik dalam sesebuah masyarakat. Perubahan kedudukan dalam masyarakat ini
boleh jadi berlaku disebabkan oleh perubahan dari segi pendidikan, pangkat,
kekayaan, perubahan status hubungan kekeluargaan, penglibatan dalam politik,
kegiatan bermoral dan tidak bermoral, kesalahan jenayah dan sebagainya.
Individu atau watak yang tidak mengalami sebarang perubahan statusnya dalam
masyarakat kerana tiada kontak dengan faktor-faktor perubahan sosial itu tadi
dianggap tiada anjakan dari segi mobiliti sosialnya dan dianggap mengalami
mobiliti sosial yang mendatar atau statik.”
SOALAN RANGSANGAN TEKS
SULALATUS SALATIN (SS) – MOBILITI
SOALAN 1:
Teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)
banyak mengisahkan perubahan status (mobiliti sosial) seperti yang terakam
dalam teks tersebut. Dengan merujuk watak-watak yang terlibat dan peristiwa
yang dialami, bincangkan perubahan status sosial yang berlaku ke atas
watak-watak yang terlibat, jenis mobiliti sosial sama ada menaik atau menurun, punca
berlaku dan kesan mobiliti sosial
tersebut.[ 25 markah ]
SKEMA JAWAPAN:
Pendahuluan: (3 markah)
·
Teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) banyak
merakamkan perubahan status sosial yang dialami oleh watak-watak penting dalam
pengkisahan sejarah ini. Perubahan status sosial ini melibatkan kelompok Raja
dan kerabatnya, pembesar-pembesar utama negara, kelompok agama dan golongan
rakyat biasa/hamba.
·
Perubahan status sosial / taraf dalam masyarakat
di zaman pemerintahan Kesultanan Awal Melayu (Kerajaan Melayu Palembang, Bentan
dan Temasik/Singapura) dan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan oleh faktor
perkahwinan, penghormatan, jasa dan bakti terhadap Sultan/Pemerintah, kebolehan
istimewa, kekayaan, peperangan, korban penyelesaian konflik, dan faktor suaka
politik (perlindungan politik).
·
Interaksi watak dengan kontak sosial, ekonomi,
politik, agama dan sebagainya akan menyebabkan berlakunya perubahan status
menegak (menaik) atau menurun kepada
watak-watak atau individu yang terlibat. Kesannya individu itu akan dipandang
mulia dan hormat oleh Sultan dan pemerintah luar, masyarakat setempat dan sebagainya.
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial Menurun)
F1: Demang Lebar Daun (Pembesar/Pemerintah
Kerajaan Palembang) dan Wan Seri Beni
(Puteri Raja Bintan) memberi laluan kepada Seri teri Buana (Nila Utama)
untuk menjadi Raja di dua kerajaan itu sebagai penghormatan bahawa Seri Teri
Buana berketurunan Nabi Adam, Iskandar Zulkarnain dan Raja kerajaan besar dari
Benua Keling iaitu salasilah daripada Anak Raja Suran.
Faktor Mobiliti:
Penghormatan/Ketokohan/Ehsan
Jenis Mobiliti: Menurun
Berlaku
penurunan status sosial ke atas kedua-dua pemimpin utama ini setelah kerajaan
itu diserahkan kepada Seri Teri Buana (Nila Utama) atas rasa hormat
(penghormatan), ketokohannya dan perasaan belas kasihan (ehsan) kerana STB
tiada kerajaan yang besar seperti saudara kandungnya Nila Pahlawan (Raja Daerah
Minangkabau) dan Krisyna Pandita (Kerajaan Tanjung Pura).
HC1:
Mobiliti sosial menurun ini berlaku ke atas Demang Lebar Daun kerana pada
ketika itu Kerajaan Palembang belum mempunyai seorang Raja. Beliau adalah
selaku Demang (pemerintah bertaraf pembesar) mahu supaya Palembang setara
dengan kerajaan lain seperti Minangkabau dan Tanjung Pura yang telah mempunyai
Raja iaitu setelah Nila Pahlawan dan Krisyna Pandita iaitu saudara/adik beradik
kepada Nila Utama. Demang Lebar Daun daripada menjadi pemerintah utama
Palembang (bertaraf Raja) kemudiannya menurunkan tarafnya menjadi pembesar
mewakili rakyat Palembang bertaat setia kepada Nila Utama (Seri Teri Buana).
HC2:
Wan Seri Beni (Puteri Raja Bintan) menyerahkan takhta dan kerajaannya setelah
menjadikan Seri Teri Buana (STB) sebagai anak angkatnya. Dia sanggup turun
takhta menjadi ibu angkat kepada STB kerana menyedari dia seorang perempaun yang
telah berusia dan percaya kebolehan STB memimpin kerajaannya. Mobiliti sosial
menurun ini jelas berlaku ke atas Wan Seri Beni dan dia bertindak sebagai
penasihat kepada STB sehinggalah STB membuka pula kerajaan baharu iaitu
Kerajaan Temasik /Singapura.
HC3:
(Kesan Mobiliti): STB menjadi lebih yakin membuka dan mengasaskan kerajaan yang
lebih besar iaitu Singapura setelah mendapat dokongan kedua-dua pemerintah ini
iaitu Demang Lebar Daun dan Wan Seri Beni. Segala kekuatan (rakyat dan hasil
mahsul negeri Palembang dan Bintan) digunakan untuk membuka kerajaan baru iaitu
Kerajaan Singapura.
F2: Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak
Raja (kakak Tun Perak) telah mengalami penurunan darjat/status daripada
bertaraf permaisuri Sultan Muzaffar Shah (Raja Kassim) menjadi isteri pembesar
Melaka (isteri kepada Seri Nara Diraja) bagi mengelakkan konflik antara
pembesar utama negeri iaitu Seri Nara Diraja dengan Tun Perak.
Faktor Mobiliti: Pergeseran/Konflik antara
pembesar utama Melaka.
Jenis Mobiliti: Menurun
HC1:
Tun Kudu asalnya merupakan anak bekas bendahara Melaka iaitu Bendahara Sri Wak
Raja (yang membunuh diri kerana tersalah sangka bahawa Sultan Muhammad Syah
iaitu bapa Sultan Muzaffar Shah enggan menerima permintaan mengadapnya). Beliau
menjadi isteri dan menjadi Permaisuri Sultan Muzaffar Shah. Dia terkenal dengan
kecantikannya tetapi agak juling sedikit. Dia ditalakkan oleh Sultan
(diceraikan oleh Sultan) bagi menyelesaikan pergeseran antara Tun Perak dengan
Seri Nara Diraja
HC2:
Sultan Muzaffar Shah dan Tun Kudu terpaksa berkorban demi menyelamatkan
pergeseran antara kedua tokoh pembesar utama Melaka ini. Kebetulan Seri Nara
Diraja (SND) berkenan dengan Tun Kudu walaupun disindir oleh pengikutnya yang
mengatakan bahawa SND telah tua dan tidak berupaya memperoleh zuriat setelah
berkahwin dengan SND.
HC3:
(Kesan Mobiliti):Hubungan kedua-dua pembesar menjadi akrab atas faktor
perkahwinan. Kerajaan Melaka menjadi bertambah kukuh dan kuat untuk berhadapan
dengan serangan Siam.
F3: Sultan Maliku’t Tahir (Raja Pasai)
dan Maharaja Dewa Sura (Raja Indera
Pura) tarafnya sebagai pemerintah/Raja/Sultan diturunkan setelah menjadi
tawanan perang. Sultan Maliku’t Tahir ditawan oleh Raja Shahrun Nuwi (Siam),
diculik dan dibawa lari ke Siam dan disuruh menjadi gembala ayam Raja. Maharaja
Dewa Sura pula ditawan oleh Seri Bija Diraja (Panglima Melaka di Zaman Sultan
Muzaffar Shah) dan dibawa ke Melaka menjadi gembala gajah Raja.
Faktor Mobiliti: Tawanan Perang Diraja
Jenis Mobiliti: Menurun
HC1:
Sultan Malikut’t Tahir (Raja Pasai – putera sulung Sultan Maliku’l Salleh)
telah ditipu dan diculik oleh Awi Dicu (hulubalang Siam) bersama-sama 4000
tenteranya dan dititahkan membawa hidup-hidup Sultan Maliku’t Tahir ke Siam
kerana cemburu akan kehebatan Pasai yang menjadi tumpuan dagang dan santri
(hlm.60-61). Selama berada di bawah tahanan Siam, Sultan Maliku’t Tahir disuruh
mengembala/mebela ayam Raja. Jadi, jelaslah penghinaan yang diterima oleh Raja
Pasai yang dihinakan menjadi gembala ayam seolah-olah bertaraf hamba abdi.
Beliau kemudiannya diselamatkan oleh pembesarnya iaitu Sidi Ali Ghiatuddin yang berjaya menyamar menjadi saudagar Arab
dan mengenakan tipu helahnya untuk membawa pulang Raja Pasai itu.
HC2:
Maharaja Dewa Sura, pemerintah Indera Pura ditawan oleh Seri Bija Diraja dan
dibawa pulang ke Melaka sebagai tawanan perang. Semasa di Melaka beliau dijaga
dengan baik oleh Bendahara Tun Perak dan disuruh menjadi pengembala gajah Raja
kerana kemahirannya tinggi ilmu menjinakkan gajah. Berlaku penurunan darjat
apabila beliau menjadi tawanan perang dan menetap di Melaka. Walaupun beliau
kekal sebagai kerabat Raja dan diberi layanan bertaraf rakyat biasa,
keturunannya selepas itu menjadi pembesar Melaka yang mahir mengenai hal ehwal
menjinakkan gajah Raja dan jawatan itu dimonopoli oleh keturuannya.
HC3:
(Kesan Mobiliti): Maharaja Dewa Sura turun taraf sebagai rakyat biasa di Melaka
setelah hilang kekuasaan kerajaannya di Indera Pura. Beliau terus menetap di Melaka
dan keturunan/warisnya sehingga ke zaman Sultan Mahmud diberi penghormatan
menjaga, mengembala dan menjinakkan gajah Raja.
Waris keturunanannya juga berjaya menaikkan nama Raja Melaka atas
kemahiran tinggi menjinakkan gajah ini.
F4: Sultan Abdul Jamal (Pemerintah
Pahang dan sepupu Sultan Mahmud Shah) menurunkan darjatnya sebagai Sultan
Pahang dan memencilkan diri (beruzlah)
di Lubuk Pelang (hlm. 233 – A-311) setelah murka dimalukan oleh Sultan
Mahmud…”Kita diperbuat oleh Raja Melaka ini ‘Mulut disuapinya dengan pisang,
pantat (punggung) dikaitnya dengan onak…” hlm.233/A-311/B-240. Dia menyerahkan
takhtanya kepada anaknya Raja Masur/Sultan Mansur Syah sebagai pemerintah
Pahang dan sebaliknya beliau “membuang diri” ke Lubuk Pelang untuk mengabdikan
diri kepada Tuhan.
Faktor Mobiliti: Malu dan Terhina
Jenis Mobiliti: Menurun (Sultan – turun
takhta menjadi syeikh/petapa)
HC1:Sultan
Abdul Jamal dimalukan oleh Sultan Mahmud (sepupunya sendiri yang menjadi Raja
Melaka) atas dua faktor iaitu Tun Teja anak Bendahara Pahang yang bakal menjadi
permaisuri keduanya telah dilarikan oleh Hang Nadim ke Melaka. Keduanya, gajah
kesayangannya (kenaikan Raja) “Ai Kening” dilarikan oleh Laksamana ke Melaka
gara-gara mulutnya celupar “hendak melanggar Melaka” dengan gajah kesayangannya
itu. Akhirnya Sultan Mahmud membuat tawaran kepada hulubalang dan perajurit
Melaka agar membawa pulang “Ai Kening” hidup-hidup ke Melaka.
HC2:
Sultan Abdul Jalil rasa terhina dan malu apabila saudara sepupunya sendiri dari
Melaka sanggup mempermalukannya atas dua peristiwa itu lalu dia membuat
keputusan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anaknya Sultan Mansur Shah dan
beliau “membuang diri” atau “mengasingkan diri/bertapa” sebagai seorang
“abid/syeikh” di Lubuk Pelang.
HC3: Kesan Mobiliti: Pahang sebagai
naungan Melaka kemudiannya mengurangkan pergantungannya ke Melaka dan
seolah-olah memutuskan hubungan diplomatik dengan Melaka. Buktinya selepas
Sultan Mahmud dikalahkan oleh Peringgi, beliau tidak meminta bantuan daripada
Pahang dan tidak menjadikan Pahang sebagai destinasi “ kerajaan Melaka dalam
buangan”. Sebaliknya memilih Siak dan Kopak sebagai benteng terakhir bertempur
dengan Peringgi (Portugis) dan akhirnya melarikan diri ke Johor dan menubuhkan
Kerajaan Melayu Johor.
F5:
Sulta Maliku’l Mansur (Pemerintah Semundera) ditangkap oleh abangnya
Sultan Malikul Tahir (Pemerintah Pasai), dijadikan tawanan dan dipenjarakan di
Manjung.
Faktor Mobiliti: Motif Dendam/Cemburu
Jenis Mobiliti: Menurun (menjadi banduan)
HC1:
Sultan Maliku’l Mansur telah membawa pulang dayang istana abangnya di Pasai.
Ketika dia mengunjungi abangnnya di Pasai, Sultan Maliku’l Tahir tiada di
istana tetapi dia telah melakukan “khilaf”/kesilapan membawa pulang seorang
dayang istana tanpa izin daripada saudaranya itu. Akhirnya seorang pembesar
Pasai telah membuat fitnah sehingga menyebabkan Sultan Maliku’t Tahir murka dan
membunuh pembesar (memenggal kepala dan kepala disula di hadapan perahu) dan
menangkap adiknya dan dipenjarakan di Manjung (sekarang ini di Perak).
HC2:
Kesan Mobiliti: Peristiwa pathos
“amat menyedihkan” berlaku ke atas Sultan Maliku’l Mansur apabila abangnya
insaf dan mahukan adiknya dibawa pulang ke Semundera, Sultan Maliku’l Mansur
telah mangkat di atas kubur Sidi Asma Yaumuddin, di Padang Maya. Sultan
Maliku’t Tahir begitu menyesali perbuatannya dan memberi wasiat kepada
anaknya dan pembesar-pembesar sewaktu
dia nazak (hampir menghembuskan nafas yang terakhir) agar tidak mengikut jejak
kesilapannya.
F6: Sultan Mahmud Shah kehilangan
takhta dan menjadi “Sultan dalam buangan” setelah Melaka dialahkan dan gagal
bertahan di Kampar, Siak dan Kopak dan Bintan. Beliau juga “membuang diri” ke
hulu Melaka setelah menyesali perbuatannya membunuh Bendahara Seri Maharaja dan
kaum keluarganya dan Tun Fatimah (permaisurinya) terpaksa menuntut bela atas
kematian suami, saudara kandung dan kaum keluarganya.
Faktor Mobiliti: Kalah dalam Peperangan (Sultan/Kerajaan
Dalam Buangan – Tiada Negeri/Menumpang Negeri Naungan Melaka) dan Menyesali Perbuatan
Membunuh Tanpa Usul Periksa.
Jenis Mobiliti: Menurun (Raja dalam
Buangan/Mengemis Makanan)
HC1:
Sultan Mahmud menjadi Sultan yang tidak mempunyai kerajaan setelah Melaka
dikalahkan oleh Ferenggi/Portugis. Beliau gagal bertahan di Kampar, Siak, Kopak
dan Bintan. Akhirnya terpaksa menyeberang ke Johor dan menubuhkan Kerajaan
Melayu Johor.
HC2:
Beliau dan kaum kerabatnya juga dihinakan kerana tiada pembesar yang
berlumba-lumba memenuhi keinginan Sultan Mahmud untuk mencari nasi kerana
baginda kelaparan, kecuali Seri Diraja mengarahkan Sri Wak Raja (hlm. 232
B-290) yang terpaksa mencuri nasi dari periku belanga orang Gunung yang sedang bertanak
dan membakar ikan. Keadaan ini seolah-olah beliau terpaksa mengemis meminta
makanan daripada orang ketika berada di Kopak.
HC3:
Sultan Mahmud memencilkan dirinya dan tidak menghiraukan hal ehwal istana
setelah berasa sedih dan sesal akan kesilapannya membunuh Bendahara Seri
Maharaja Tun Mutahir dan seluruh kaum kerabatnya. Dia “membuang diri” ke hulu
Melaka sehinggalah Peringgi menyerang Melaka.
Kesan Mobiliti: a. Sultan Mahmud
bertaraf Sultan dalam buangan (tiada mempunyai negeri/menumpanh negeri naungan
Melaka di Kampar, Siak, Kopak dan Bintan)
b.
Kerajaan Melaka menjadi lemah setelah kematian Bendahara Seri Maharaja dan
dikalahkan oleh Peringgi.
c.
Wujud kerajaan Melayu Johor.
F7: Hang Tuah dilucutkan jawatan Laksamana dan dititahkan dibunuh
kerana derhaka kepada Raja (difitnah bermain-main dengan perempuan Raja)
Faktor Mobiliti: Fitnah Pembesar yang
irihati akan ketokohannya.
Jenis Mobiliti: Menurun
(penderhaka/dipasung/disembunyikan) di dusun Seri Nara Diraja di Hulu
Melaka)
HC1:
Laksamana Hang Tuah dilucutkan jawatan menjadi pesalah dan penderhaka kerana
difitnah bermukah dengan dayang istana yang tinggal di luar istana
(hlm…130/B133). Seri Nara Diraja tidak jadi membunuhnya kerana memikirkan Hang
Tuah ada guna untuk masa hadapan. Beliau hanya disembunyikan dan dipasung oleh
Seri Nara Diraja di dusunnya d hulu Melaka).
HC2:
Hang Tuah akhirnya mendapatkan kembali jawatannya setelah berjaya membunuh Hang
jebat yang menderhaka kepada Raja Melaka.
Kesan Mobiliti: Huru hara berlaku
kerana Hang jebat membela atas kematian Hang Tuah. Hang jebat menguasai istana
dan akhirnya Hang Tuah muncul untuk membersihkan contengan arang di muka
baginda Sultan.
F8: Sultan Muhammad (Raja kerajaan
Mu’tabari – Selatan Benua Keling) turun takhta sebagai Sultan dan
menyerahkan takhta kepada anaknya. Baginda menjadi “fakir/pengembara dan pendakwah” dan mengikut pelayaran Sheik
Ismail mengislam negeri di rantau Alam Melayu termasuklah Fansuri, Lamiri,
Haru, Perlak dan Semundera.
Faktor Mobiliti: Mengikut ajakan pendakwah
Sheikh Ismail, syarif dari Mekah mengislam rantau Alam Melayu
Jenis Mobiliti: Menurun (menjadi
fakir/pengembara)
HC1:
Sultan Muhammad meninggalkan Negeri dan Kerajaan Mu’tabari dan menyerahkan
kepada pewarisnya kerana mahu menyahut seruan dakwah daripada Nabi Muhammad SAW
dan ajakan Sayid dari Kota Makkah iaitu Sheikh Ismail mencari sebuah negeri
seperti yang ditakbir melalui mimpi (suruhan Nabi Muhammad SAW) yang diterima
oleh sheikh Ismail tersebut.
HC2:
Kapal Sheikh Ismail yang singgah di negeri Mu’tabari akhirnya disapa oleh
Sultan Muhammad dan dia tiba-tiba mahu mengikut pelayaran sheikh Ismail untuk
mengislamkan sebuah negeri yang dimaksudkannya itu. Dia membawa segala
peralatan kerajaannya untuk bakal merajakan/seorang pemerintah kerajaan Islam
yang bakal memeluk ajaran Islam di rantau alam Melayu.
Kesan Mobiliti: Islam berkembang luas
di Alam Melayu terutama Kerajaan awal Islam,Semundera (Merah Silu/Sultan
Maliku’t Salleh).
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial Menaik)
F9: Badang menjadi Panglima
Singapura dan Pembesar Utama Negeri
dengan gelaran “Orang Kaya Sayung” setelah banyak kali mengharumkan nama Raja
Singapura. Beliau asalnya adalah bertaraf hamba sahaya tetapi kemudiannya
menjadi gagah perkasa kerana memakan muntahan hantu (hlm…48/b-31)
Faktor Mobiliti: Memperoleh kekuatan luar
biasa setelah makan muntahan hantu.
Jenis Mobiliti: Menaik (menjadi Hulubalang
Singapura dengan gelaran Orang Kaya Sayung)
HC1:
Asalnya adalah hamba dan mengerjakan ladang majikannya. Kemudian mendapat
kekuatan luar biasa setelah menangkap hantu yang memakan ikan dalam lukahnya.
Akhirnya hantu minta dilepaskan dan Badang meminta untuk menjadi kuat – hantu
menuruh Badang makan muntahannya itu).
HC2:
Badang mengalahkan hulubalang dari Benua Keling – Nadi Bijaya Niakra dalam
pertarungan beradu kekuatan. 7 isi kapal menjadi kepunyaan Raja Singapura.
HC3:
Badang beradu kekuatan dengan Benderang, hulubalang Perlak (hlm.51/A-66)
Kesan Mobiliti: Singapura menjadi
terkenal dan makmur kerana kemahsyuran kekuatan Badang. Hubungan Singapura
dengan Perlak juga bertambah erat kerana tindakan Badang yang tidak mahu
memalukan Raja Perlak sekiranya Benderang tewas.
F10: Tun Perak diangkat menjadi
pembesar utama Melaka di zaman Sultan Muzaffar Shah dengan gelaran Bendahara
Paduka Raja Tun Perak
Faktor Mobiliti: Kebijaksanaannya dari segi
kepimpinan dan tipu daya muslihatnya
mematahkan serangan Siam.
HC1:
Tun Perak anak Bendahara Seri Wak Raja (Bendahara di Zaman Sultan Muhammad Shah
– Bapa Sultan Muzaffar Shah) menjadi penghulu Kelang.
HC2:
Diangkat menjadi Bendahara Melaka atas sifat kepimpinan dan kebijaksanaannya
memimpin rakyat Melaka mematahkan serangan Siam.
HC3:
Dilantik dengan gelaran tertinggi kerajaan dengan gelaran Bendahara Paduka Raja
Tun Perak atas sifat istimewanya dari
segi bakat kepimpinan.
Kesan Mobiliti: Pelantikannya sebagai
Bendahara Paduka Raja telah menjadikan Melaka sebuah kerajaan yang tersohor
kerana kepimpinan Tun Perak dengan dibantu oleh pembesar yang lain. Tun Perak
terkenal dengan kebijaksanaan akalnya, ilmunya, akhlaknya, kesetiaannya dan
pandangan jauhnya atas sesuatu isu.
F11: Hang Nadim masuk dalam kelompok
diraja kerana berkahwin dengan puteri Raja Kelantan iaitu “Cau Pauk” (…hlm 231) setelah beliau begitu berjasa
kepada Sultan Mahmud setelah berjaya melarikan dan membawa pulang Tun Teja anak
bendahara Pahang ke Melaka.
Faktor Mobiliti: Berjasa kepada Sultan
(Melarikan Tun Teja ke Melaka)
Jenis Mobiliti: Menaik (menjadi menantu
Raja Kelantan kerana berkahwin dengan Cau Pauk).
HC1:
Hang Nadim ingin mengambil hati Sultan Mahmud yang murka ke atasnya apabila
hanya berjaya membawa pulang 4 gulung kayu kain kasa yang diminta oleh Sultan
Mahmud ketika dia dan Hang Isap dititahkan ke Benua Keling untuk membeli kain
yang diminta itu. Beliau telah dimurkai oleh Sultan kerana gagal dalam misinya
itu dan difitnah oleh Hang Isap.
HC2:
Melarikan Tun Teja tanpa dititahkan oleh Sultan Mahmud dengan tujuan untuk
mengambil hati semula Sultan Mahmud dan menebus dosanya ketika di Benua Keling
dan Ceylon (Sri Lanka). Sultan begitu gembira kerana Hang Nadim berjaya membawa
Tun Teja ke Melaka dan dijadikan Permaisuri Utama kerana baginda baharu kematian
permaisurinya. Hang Nadim diberi anugerah istimewa anak Raja Kelantan itu
setelah mendengar pengakuan Tun Teja sendiri bahawa Hang Nadim tinggi budi
pekertinya… hlm 231 …langsung tidak memandang wajah Tun Teja…apatah pula
mengambil kesempatan memegang tangannya ketika dikejar oleh perajurit Pahang).
Kesan Mobiliti: Sultan tidak murka lagi
kepada Hang Nadim. Hang Nadim mendapat anugerah istimewa iaitu diberikan puteri
Raja Kelantan “Cau Pauk” untuk dinikahi.
[ Banyak isi lain yang boleh diterima….]
[ **Nota: Huraian dan Contoh seharusnya
bersifat selektif (jangan sumbat semua dalam huraian – dibimbangi huraian dan
contoh menjadi terlalu panjang. Pilih HC mengikut kesesuian ]
Pilih
mana-mana 5 isi sahaja: 5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah.
Markah keseluruhan isi = 20 markah. Pendahuluan = 3 markah, Penutup = 2 markah.
** Huraian + Contoh : Mohon guru modified / edit
sekiranya tersalah fakta dan bercanggah.
Kesimpulan: (2
markah)
·
Mobiliti sosial penting untuk mengukur peranan
dan penghormatan seseorang watak ketika berada dalam kelompok masyarakatnya.
·
Mobiliti sosial boleh berubah ke arah yang lebih
baik ataupun sebaliknya atau mungkin statik sahaja bergantung kepada peranan
yang dimainkan oleh individu/watak dalam kelompok masyarakatnya
·
Mobiliti sosial boleh saja berlaku ke atas watak
hamba, rakyat biasa, golongan bangsawan dan Raja seperti yang terakam dalam
teks Sulalatus Salatin.
Soalan-soalan Tambahan untuk
Perbincangan:
2. Mobiliti
sosial yang berlaku dalam kalangan pembesar, rakyat biasa dan hamba seperti
yang digambarkan dalam Teks Sulalatus Salatin kebanyakannya berlaku hasil
daripada balasan jasa mereka yang telah berbakti kepada Sultan atau Raja.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini. 25 markah ]
3. Mobiliti
sosial yang berlaku ke atas watak-watak penting dalam teks Sulalatus Salatin
telah meninggalkan kesan yang besar terhadap pemerintahan sesebuah kerajaan.
Ulaskan penyataan ini dengan mengemukakan fakta dan bukti yang jelas.
(Sekian.
Selamat Mencuba…doakan yang terbaik untuk anak didik kita….)
awesome!
ReplyDeleteTerima kasihhhh
ReplyDelete