Tuesday 10 March 2015

SINOPSIS NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR

Novel ini mengisahkan cita-cita seorang saudagar Melayu bernama Encik Muhammad bin Idris yang mempunyai rancangan perdagangannya seperti membuka ladang lada hitam di Johor dan mengusahakan perlombongan di Lembah Tualang. Dia telah menubuhkan Syarikat Lombong Lembah Tualang dan berkongsi dengan Datuk Tan. Encik Muhammad merupakan orang Melayu yang berdarah dagingkan perniagaan sejak dari datuknya iaitu Orangkaya Indera Datuk Muhammad Saman bin Bendahara Muda sehinggalah ayahnya Orangkaya Indera Datuk Idris.
Keghairahan Encik Muhammad untuk menjayakan lombong yang dirancangkannya itu diserahkan kepada Sudin untuk menggunakan apa cara sekalipun walaupun dengan pelbagai muslihat. Dia berpegang kepada prinsip untuk menundukkan seekor harimau hanya seekor ‘kancil bijak’ sahaja yang melakukannya. Segala muslihat yang licin dan halus mestilah digunakan untuk mencapai hasratnya itu. Sementara itu, isteri Encik Muhammad iaitu Cik Puan Tipah pula bercadang mengusahakan ladang orkid di Jeram Medang.
Encik Muhammad telah berjaya menawan hati Yang Berhormat Muhd. Yusuf dan abangnya Penghulu Mahmud menyertai hasratnya itu. Sudin pula memainkan peranannya berselindung di sebalik matlamat mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dengan memindahkan mereka ke rancangan FELDA. Walaupun pada mulanya Sudin bermusuh dengan Mat Akil tetapi dia berjaya memujuk Mat Akil dan rakan-rakannya menyertai misi yang dirancangkan oleh Encik Muhammad.  Sudin masih menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap Mat Akil kerana permusuhan mereka merebut Gayah.
Sifat tidak jujur Encik Muhammad terhadap orang-orang Kampung Pulai dapat dihidu oleh Imam Saad, Lebai Maarup serta Rahim. Rahim anaknya sendiri, Mahani bakal menantunya, Lebai Maarup, orang yang baru pulang ke kampung setelah sekian lama di perantauan, juga Muhammad Alif, anak buahnya yang menjadi pensyarah di Universiti Malaya telah menyedari muslihat Encik Muhammad hendak menyingkirkan orang-orang kampung dari kampung halaman mereka sendiri. Kesemua watak tersebut menentang Encik Muhammad dengan cara yang tersendiri.
Tuk Empat Dahlan berjaya dibeli dengan pangkat penghulu manakala Imam Saad dilantik sebagai imam menggantikan imam tua yang dibersarakan. Encik Muhammad terpaksa pulak berhadapan dengan Tauke Chan. Tauke Chan menyimpan dendam terhadap Encik Muhammad kerana menggagalkan projek perumahannya. Dia mengupah Pendekar Omar memusnahkan ladang orkid Cik Puan Tipah. Akhirnya Pendekar Omar ditangkap polis. Begitu juga nasib Mat Akil, ditangkap polis kerana mencederakan Lebai Maarup. Sudin berpuas hati kerana dendamnya terhadap Mat Akil telah terbalas secara tidak langsung.

Pada akhir novel ini, Keris Mas meletakkan poetic justicenya terhadap Encik Muhammad, saudagar besar dari Kuala Lumpur yang tiba-tiba menjadi kecil dan rebah tersungkur menjelang perlaksanaan projek lombong yang bermatlamat hanya untuk mengaut keuntungan bersama Datuk Tan. Encik Muhammad terpaksa tunduk kepada permintaan Lebai Maarup dan Rahim supaya tanah wakaf daripada Lebai Maarup dan Imam Saad tidak dilombong, sebaliknya didirikan kompleks bangunan yang dapat menampung keperluan sosial dan agama sebuah masyarakat Islam.

3 comments:

  1. boleh encik/puan beri sinopsis ini setiap bab lain kali?

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://kmksmksm.blogspot.com/2012/01/saudagar-besar-dari-kuala-lumpur.html?m=1

      Delete