Petikan
tulisan Ku Seman Ku Hussain bertajuk "Naskhah pemikiran Johan"
bertarikh 8/7/12.
............ naskhah Asiah Samiah adalah
karya terbaru yang dihasilkan tahun 2000 dan ditulis di ladang pisangnya di
Sungai Lembing dan Gambang, Pahang. Ini adalah pasca pergolakan politik antara
Perdana Menteri Dr. Mahathir dengan Timbalannya, Anwar Ibrahim. Johan tersepit
di tengah-tengah dan mengambil keputusan "membuangkan" diri dari
gelanggang politik dan menjadi penanam pisang. Semasa rehat di celah-celah
pokok pisang itulah Johan menulis Asiah Samiah.
Tetapi secara peribadi Asiah Samiah tidak
boleh menandingi Kotaku Oh Kotaku atau Angin Kering. Barangkali ini disebabkan
banyak faktor yang mempengaruhi Johan ketika menghasilkan Asiah Samiah. Daripada
seorang aktivis teater, Johan mengepalai media arus perdana kemudian tersepit
dalam politik yang sebenarnya bukan bidang beliau. Johan telah terkeluar dari
milieu gelandangan 1970-an.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120708/sa_04/Naskhah-pemikiran-Johan#ixzz2Amb4Xq7N
© Utusan Melayu (M) Bhd
Latar
Tempat = Mana mana
Waktu = Bila-bila
Babak 1
Kisah Asiah Samiah tua dengan Marga tua
selama 15 tahun. Marga tua menganggap Asiah Samiah setengah gila dan beliau
tidak sanggup untuk melayani karenah Asiah Samiah.. Marga tua membenci Asiah
Samiah tetapi pada masa yang sama mengiktiraf dirinya yang bijak dan bersimpati
dengan dirinya.
Babak 2
Asiah Samiah masih muda (anak dara). Tuan
Setiawan Tanjung mencari anaknya Asiah Samiah. Beliau bertengkar dengan tukang
kebunnya Sari Saribiru. Kemudian diikuti dengan bicara Marga tua tentang Asiah
samiah pada masa muda remaja. Gambaran Asiah Samiah masa muda dilihat sendiri oleh
Asiah Samiah pada masa tua.
Babak 3
Marga tua berbicara tentang kisah silam
termasuklah tentang Misa Sagaraga yang sudah berjaya dalam hidup. Misa Sagaraga
seorang yang kaya raya begitu aktif menjual saham syarikat-syarikat besar.
Jualan sahamnya meliputi pelbagai syarikat. Selayaknya dia menjadi kaya kerana
tindakannya dalam jual beli saham. Aktiviti jual beli sahamnya ada yang
berpunca daripada sumber yang haram.
Diikuti pula nasihat Siti Bunirah Pak Leh
kepada Asiah Samiah selaku anak dara supaya menjaga diri baik-baik.
Babak 4
Marga Muda : Seorang penganggur yang
dahulunya bekerja dengan penuh setia kepada majikannya selama 20 tahun.
Marga Muda berbicara dengan Anas Samanda
tentang isu rumah dan tanah ibu bapa Anas Samanda yang ingin dirampas untuk
dibina kondominium oleh seseorang yang dianggap lintah darat. Tanah yang
diduduki sekian lama itu masih dianggap tanah haram dan akan dimiliki oleh
orang yang datang kemudian.
Marga Muda meminta Anas Samanda akur dengan
permintaan pemaju namun Anas Samanda enggan. Marga Muda menceritakan kisah
hidup bapanya yang telah dianggap penjenayah kerana memperjuangkan tanah tempat
tinggalnya. Bapanya dipenjara manakala keluarganya hidup sengsara. Jiran
sebelah rumah yang menikmati hidup senang lantaran perjuangan bapanya pula
tidak membantu keluarganya.
Babak 5
Perbualan antara Asiah Samiah Muda dengan
Sari Saribiru. Asiah Samiah mohon pertolongan kepada Sari tetapi beliau tidak
mahu memberikan pertolongan. Misa Sagaraga lebih berpengaruh untuk memiliki
Asiah Samiah berbanding Anas Samanda. Misa Sagaraga mempunyai kuasa wang dan
harta sedangkan Anas Samanda miskin tidak berharta.
Babak 6
Puan Suari Alimin : Ibu Asiah Samiah
Tuan Setiawan Tanjung : Bapa Asiah Samiah.
Misa Sagaraga bagaikan dewa pemberi kurnia.
Apa sahaja permintaan orang kampung dapat ditunaikan olehnya. Misa Sigaraga
mampu mengurniakan jalan, cakruk, peluang kerja, lesen kontraktor dan lain-lain
lagi.
Puan Suari Alimin, ibu kepada Asiah Samiah
begitu bangga dengan bakal menantunya. Ibu dan bapa Asiah berharap anaknya
dapat menerima Misa Sagaraga sebagai suami. Asiah Samiah membantah dan
menyatakan bahawa kebahagian bukan ditentukan oleh kemewahan harta tetapi hati
dan perasaan. Asiah Samiah sentiasa menunggu kepulangan dan pertolongan Anas
Samanda bagai orang gila.
Babak 7
Marga Tua berbicara tentang pengalaman
hidup dan menjadi saksi kepada masalah manusia di persekitaran hidupnya.
Masalah itu adalah masalah Anas Samanda, Asiah Samiah dan Misa Sagaraga. Kisah
Asiah Samiah yang enggan berkahwin dengan Misa Sagaraga. Kehidupan Asiah menjadi
suram dan tidak menentu. Pada masa yang sama Marga Tua mengkagumi Misa Sagaraga
yang bernasib baik menjadi orang kaya. Gaya hidup Misa Sagaraga sangat mewah
dan cuba menjadikan Asiah Samiah yang hidup ala kampung menjadi seorang yang
moden dan menggunakan fesyen terkini. Asiah Samiah merintih dan mengenng kisah
hidupnya yang malang kerana dijodohkan dengan Misa Sagaraga. Kisah Asiah Samiah
terpaksa meninggikan suara membantah cadangan ibubapanya yang mahukan dirinya
berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya. Asiah sentiasa terkenang
kekasihnya Anas Samanda yang telah pergi meninggalkan Asiah tanpa khabar
berita.
Babak 8
Sari Saribiru, Siti Bunirah dan Pak Leh Lak
Lak saling berdialog antara satu sama lain tentang hak ke atas hasil usaha
mereka. Semuanya telah dirampas dan menjadi milik Misa Sagaraga. Bagi Asiah
Samiah pula mengalami nasib yang lebih menyakitkan. Dirinya telah dimiliki
secara paksa oleh Misa Sagaraga tanpa kasihan belas. Lalu lahirlah zuriat
daripada hubungannya dengan Misa Sagaraga yang bernama Laila Anurisah yang
beliau benci.
Babak 9
Laila Anurisah lahir tetapi ditinggalkan
oleh ibunya. Ibunya, Asiah Samiah menjadi tidak siuman dan Misa Sagaraga juga
membenci anak kecil itu. Laila telah diusir dan Marga telah mengambil dan memelihara
anak itu.
Anas Samanda yang lama menghilangkan diri
tiba-tiba muncul dengan semangat perjuangannya yang ingin menegakkan
ketidakadilan. Perjuangan beliau adalah melampaui tentangannya keatas Misa
Sagaraga iaitu memerangi sistem, nilai dan minda. Bagi Anas, masalah Asiah dan
Laila Anurisa adalah masalah kecil. Perjuangannya lebih besar daripada itu.
Marga tidak mampu mempertahankan Laila, akhirnya Laila Anurisah disiksa dan
hilang entah kemana dan.
Babak 10
Anas Samanda telah mati dalam perjuangan
kerana dihukum mati. Marga pula terpenjara kerana hadir dalam perhimpunan yang
dianjurkan oleh Anas Samanda. Walaupun beliau hadir untuk menunjukkan Laila
Anurisah kepada Anas namun beliau dianggap bersimpati dan menyokong perjuangan
Anas Samanda. Setelah keluar dari penjara, Marga terpaksa pula mendengar rintih
pilu cerita Asiah Samiah. Drama ini diakhiri dengan kemunculan semula anak
Asiah Samiah iaitu Laila Anurisa yang sudah remaja. Laila yang disangkakan
sudah mati di tangan ayahnya (Misa Sigaraga), sebenarnya masih hidup kerana
diselamatkan oleh Pak Leh dan Siti Bunirah. Laila telah diselamatkan dan dibawa
lari ke luar negara. Laila telah bertemu Marga tua dan mengucapkan terima kasih
kepada Marga kerana telah menjaga dirinya ketika kecil. Asiah Samiah pula
dikhabarkan sudah meninggal dunia.
Analisis karya.
Watak
1. Asiah Samiah
Seorang yang cantik. Anak kepada Tuan
Setiawan Tanjung dan Puan Suari Alimin .
Perempuan yang kecewa kerana cintanya terhalang. Cintanya hanya kepada Anas
Samanda, namun cintanya tidak kesampaian. Berkahwin dengan Misa Sagaraga kerana
menunaikan permintaan ibubapanya. Asiah Samiah tidak mencintai Misa Sagaraga.
Mempunyai anak bernama Laila Anurisah namun tidak mampu membesarkan anaknya
lantaran menghadapi masalah mental.
2. Anas Samanda
Seorang yang dicintai oleh Asiah Samiah,
namun beliau lebih cenderung memperjuangkan hak diri dan keluarga. Pernah
ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya beliau mati dibunuh.
3. Marga
Seorang yang sudah tua dan sedang mengingat
kisah lampau kehidupannya. Menjaga Asiah Samiah ketika kecil.
4. Misa Sagaraga.
Seorang yang kaya raya. Berkahwin dengan
Asiah Samiah dan mendapat seorang anak bernama Laila Anurisah. Anaknya
diabaikan dan dijaga oleh Marga. Manakala Asiah Samiah lari daripada cengkaman
Misa Sagaraga. Digambarkan sebagai seorang yang zalim dan menindas. Cuba
memiliki harta sebanyak mungkin yang boleh. Aktif membeli saham-saham mewah dan
menguasai syarikat besar. Malah dia cuba merampas hak orang lain dengan kuasa
yang ada atas nama pembangunan. Mempunyai kuasa besar keatas penduduk negara.
Kekayaan telah menyebabkan Misa Sagaraga lupa diri. Beliau menganggap bakal
isterinya (Asiah Samiah) seorang yang kolot dan perlu diubah penampilannya.
Beliau sangat mementingkan barang-barang berjenama dari luar negeri kerana
beliau mampu memilikinya
Teknik Penulisan Drama
Drama ini mengunakan banyak teknik imbas
kembali. Maksud imbas kembali ialah menurut kamus dewan ialah : bahagian cerita
filem, novel, dsb yg memperlihatkan semula peristiwa-peristiwa yg terdahulu:
beliau menggunakan teknik ~, igauan, dan mimpi-mimpi ngeri; mengimbas kembali
membayangkan sesuatu atau melihat kembali dlm fikiran: dia ~ detik
perkenalannya dgn suaminya sekarang.
Drama ini dimulakan dengan watak Marga yang
sudah tua sedang mengingat kisah lampau yang pahit tentang kehidupan Asiah Samiah. Pada babak dua
diamarkan kisah kehidupan Asiah ketika muda yang hidup senang bersama
keluarganya. Tuan Setiawan Tanjung dan isterinya Puan Suari Alimin mempunyai
orang gaji bagi menjaga Asiah. Kehidupan Asiah sentiasa dipantau melalui orang
gajinya.
Pemikiran Drama
1. Darjat dan pangkat
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa
Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah. Orang kaya hanya boleh berkahwin
dengan golongan yang setaraf dengan mereka.
2. Kahwin Paksa.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga
secara paksa. Lalu anak yang telah beliau lahirkan tidak diasuh dengan sempurna
lantaran dirinya menghadapi masalah mental.
3. Penindasan golongan yang dianggap
berkuasa.
Misa Sagaraga merampas harta milik Anas
Samanda.
4. Manusia berkuasa kerana harta dan
kedudukan.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara
paksa. Dirinya dipandang orang kerana harta.
5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda
walaupun telah dipenjarakan.
6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap
anaknya Laila Anurisa. Membiarkan anaknya dipelihara orang lain.
7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana
dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Marga pula terpaksa
menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam.
No comments:
Post a Comment