2. PEMBANGUNAN MASYARAKAT :
NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR (SBDKL)
2.2 SOSIAL
2.2.3 MOBILITI
Kehendak sukatan KMK:
Calon seharusnya dapat;
(a) Menghuraikan mobiliti sosial dalam
pembangunan masyarakat
Takrifan &
Skop Mobiliti Sosial:
“Konsep mobiliti sosial merujuk kepada
proses seseorang watak/individu berubah atau bergerak posisi atau kedudukan
mereka daripada satu tahap ke tahap yang lain sama ada secara menurun atau
menaik dalam sesebuah masyarakat. Perubahan kedudukan dalam masyarakat ini
boleh jadi berlaku disebabkan oleh perubahan dari segi pendidikan, pangkat,
kekayaan, perubahan status hubungan kekeluargaan, penglibatan dalam politik,
kegiatan bermoral dan tidak bermoral, kesalahan jenayah dan sebagainya.
Individu atau watak yang tidak mengalami sebarang perubahan statusnya dalam
masyarakat kerana tiada kontak dengan faktor-faktor perubahan sosial itu tadi
dianggap tiada anjakan dari segi mobiliti sosialnya dan dianggap mengalami
mobiliti sosial yang mendatar atau statik.”
SOALAN RANGSANGAN
SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR (SBDKL) – MOBILITI
SOALAN 1:
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur
jelas memperlihatkan pergerakan sosial atau mobiliti sosial watak-watak yang
terlibat cerita ini. Ada watak-watak yang mengalami perubahan dari segi
kedudukan sosial mereka dalam masyarakat
sama ada secara menaik ataupun secara menurun. Bincangkan.[ 25 markah ]
SKEMA JAWAPAN:
Pendahuluan: (3 markah)
·
Novel SBDKL
banyak menyorot perubahan status sosial watak-watak yang terlibat dan
kedudukan mereka dalam kelompok masyarakat. Antaranya watak utama dalam cerita
ini iaitu Encik Muhammad Bin Idris, Penghulu Mahmud, Tan Sri Syed Aris, Sudin,
Imam Saad, Imam Pekan Tualang, Tuk Empat Dahlan, Sani, Mat Akil, dan
sebagainya.
·
Perubahan status sosial / taraf dalam masyarakat
setempat disebabkan perubahan tahap pendidikan yang diperoleh watak-watak yang
terlibat, perubahan peranan yang diberikan oleh institusi beraja, kerajaan dan
masyarakat, perubahan jawatan dalam sektor perusahaan awam atau swasta,
perubahan status dalam masyarakat hasil daripada perubahan kedudukan dalam
hubungan kekeluargaan, perubahan status dalam masyarakat hasil daripada kontak
sosial sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah, kegiatan tidak berakhlak dan
sebagainya.
·
Kontak sosial ini menyebabkan berlakunya
perubahan status menegak (menaik) atau menurun
kepada watak-watak atau individu yang terlibat. Kesannya individu itu
akan dipandang mulia dan hormat oleh masyarakat setempat dan begitulah
sebaliknya jika mereka terlibat dalam
kegiatan yang tidak bermoral yang sudah pastinya akan menurunkan darjat sosial
mereka dalam masyarakat.
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial
Menegak/Menaik)
F1: Encik Muhammad Bin Idris berjaya
menempatkan dirinya dalam kelompok elit usahawan yang berjaya sehingga
pencapaian ini menyebabkan dirinya dihormati oleh kaum keluarganya, rakan
perniagaan luar dan dalam, dan masyarakat tempat kelahirannya.
HC1:
Mobiliti sosial menegak ini adalah hasil usaha gigihnya meningkatkan diri dalam
pencapaian akademik sehingga dia berjaya menjadi graduan bidang ekonomi lulusan
luar negara.
HC2:
Mobiliti sosial menegak ini juga adalah hasil daripada perniagaan yang
diceburinya sehingga dia diangkat menjadi pengarah urusan salah satu cabang
perniagaan Datuk Tan Enterprise dan syarikat enterprise kepunyaannya sendiri.
HC3:
Tahap pendidikan dan pencapaian Encik Muhammad bin Idris dalam bidang
perniagaan menyebabkan dirinya dihormati dan diberi penghormatan sebagai
satu-satunya anak Orangkaya Indera Datuk Idris bin Muhammad Saman yang berjaya
dalam karier sebagai usahawan bumiputera Melayu yang berjaya dan menjadi
kebanggaan keluarga Orangkaya Indera Datuk Idris khususnya Penghulu Mahmud abangnya
yang sangat mengaguminya, begitu juga dengan masyarakat Pekan Tualang dan Kampung
Pulai.
Kesimpulan: Pencapaian Encik Muhammad dalam bidang
pendidikan dan perniagaan telah melayakkannya berada dalam kelompok usahawan
yang berjaya bukan sahaja dalam kalangan usahawan tempatan bahkan juga dalam kelompok
usahawan luar negara. Pencapaian ini membanggakan sahabat karibnya Datuk Tan
Chong Seng, Tan Sri Syed Aris, termasuk stafnya Cik Sharifah Mahani, keluarga
dan penduduk Pekan Tualang dan Kampung Pulai.
F2: Tan Sri Syed Aris berjaya sebagai
usahawan Melayu yang kaya dan berjaya dalam bidang perniagaan. Dia menjadi
Pengarah Eksekutif Serba Dagang Internasional. Statusnya dalam masyarakat
atau kelompok usahawan sangat tinggi dan dihormati oleh usahawan tempatan dan
luar negara. Encik Muhammad Bin Idris sendiri mengagumi pencapaian Tan Sri Syed
Aris dan sering mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat perniagaan daripadanya.
HC1:
Pergerakan statusnya bermula apabila dia dibela oleh Tuan Syeikh Syed Salim
Al-Makky. Ibu Tuan Syed Aris iaitu Sharifah Dora merupakan anak angkat kepada
Tuan Syeikh Syed Salim (bapa kepada Sharifah Naimah dan Sharifah Muinah).
Sewaktu Tuan Syed Aris masih kecil ibunya Sharifah Dora dan bapanya telah
meninggal dunia pada masa kekalutan zaman pendudukan Jepun. Tuan Syeikh Salim
yang dipanggilnya sebagai walid (bapa dalam bahasa Arab) telah membela, menjaga
dan menyekolahkannya. Dia kemudiannya dihantar
belajar keluar negara dan akhirnya berjaya menjadi sebagai seorang usahawan
yang berjaya dan memiliki syarikat dagang antarabangsanya sendiri.
HC2:
Status sosialnya dalam masyarakat elit (keluarga bangsawan Arab) terus kekal
setelah dia berkahwin dengan Sharifah Naimah (kemudiannya meninggal dunia
setelah melahirkan Sharifah Mahani) dan kemudiannya berkahwin “ganti tikar”
dengan Sharifah Muinah (adik almarhumah Sharifah Naimah) atas kehendak
walidnya.
Kesimpulan:
Hubungan perkahwinan, pencapaian
pendidikan dan pencapaian dalam bidang perniagaan mengangkat taraf Tuan Syed
Aris sebagai kelompok Melayu elit yang berjaya dalam masyarakat dan dia turut
dihormati oleh rakan perniagaan di dalam dan di luar negara.
F3:
Sudin berjaya menempatkan diri
dalam kelompok elit walaupun pada asalnya dia daripada golongan
masyarakat biasa/marhaen (bawahan) tetapi berubah menjadi anak saudara kepada
Encik Muhammad bin Idris dan Penghulu Mahmud setelah dia mengahwini Gayah
(salah seorang anak kakak Encik Muhammad dan Penghulu Mahmud)
HC1:
Hidup Sudin tidak tentu arah dan dia pernah menjadi “tahi judi” dan “kaki
botol” tetapi berubah setelah Encik Muhammad Idris bijak menilai bakat dan
kemampuan Sudin yang mempunyai latar belakang bisnes kerana pernah menjadi
“broker tanah” dan “broker kereta” di Kuala Lumpur.
HC2:
Hidup Sudin juga berubah setelah dia berkahwin dengan Gayah apabila dia menjadi
orang kepercayaan Encik Muhammad untuk mengatur strategi membeli tanah orang
Pekan Tualang dan berusaha memindahkan orang Kampung Pulai ke tanah rancangan
FELDA bagi membolehkan mereka mengusahakan Syarikat Lombong Lembah Tualang.
HC3:
Sudin juga dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Syarikat Lembah Tualang oleh
Encik Muhammad. Syarikat itu bakal melombong bijih timah di sekitar Pekan
Tualang dan Kampung Pulai.
Kesimpulan: Jelas bahawa perubahan status akibat hasil
perkahwinan Sudin dan Gayah telah mengubah hidup Sudin ke arah kehidupan yang
lebih sempurna dan perubahan sosial ini menyebabkan orang Kampung khusus
bapanya dan ibunya Imam Saad dan Mak
Minah begitu bangga dengan perkembangan ini. Mat Akil juga mencemburui
pencapaian dan taraf Sudin berada dalam kelompok elit dan ini menimbulkan
dendam kesumat yang tidak dapat dielakkan lagi.
F4:
Lebai Maarop daripada seorang anak muda yang liar pada zaman mudanya dan
mempunyai pendidikan yang agak baik iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berubah
menjadi seorang pendakwah dan menjadi imam Surau Kampung Pulai. Dia mengajar
kanak-kanak dan orang dewasa mengaji Al-Quran dan pendidikan agama Islam. Dia
dihormati oleh masyarakat Kampung Pulai dan menjadi ikon anak muda yang ingin berubah
menjadi seorang muslim yang baik.
HC1: Orang-orang tua dan kaum wanita di Kampung
Pulai menghormati dan menyanjung tinggi peranan Lebai Maarop yang berubah
menjadi baik setelah dia keluar daripada menuntut ilmu di “pondok “.
HC2:
Orang-orang Kg Pulai begitu mendengar pandangan dan pendapatnya yang agar tidak
meremehkan pendidikan agama bahkan pendidikan agamalah yang menentukan
kebahagiaan di
dunia dan akhirat. Seruan dakwahnya mendapat reaksi positif dan
kerjasama erat daripada bapa saudaranya
Bilal Endut, dan juga Imam Saad dan Tuk Empat Dahlan.
HC3:
Pendapatnya yang bernas iaitu mewakafkan sebidang tanah warisan ayahnya di
Kampung Pulai merungkaikan kemelut dan pertelagahan antara kelompok sekular
(Encik Muhammad) dan kelompok agama (diketuai oleh Lebai Maarop) untuk
membangunkan Kampung Pulai untuk diusahakan menjadi perusahaan lombong bijih
timah.
Kesimpulan: Perubahan ketara diri Lebai Maarop daripada
anak muda yang liar menjadi seorang pendakwah agama merubah dirinya berada
dalam kelompok golongan agama yang dihormati oleh masyarakat.
F5: Imam Saad, bapa Sudin berubah posisi
dan peranannya dalam masyarakat dengan dilantik sebagai Imam Pekan Tualang bagi
menggantikan Imam Tua (Bapa Sani), Imam Kerajaan yang uzur dan sering
sakit-sakit dan tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik.
HC1:
Perancangan rapi dan licik Encik Muhammad bin Idris untuk memecahkan dominasi
kelompok agama yang menyukarkan visi dan misinya memindahkan orang Kampung
Pulai ke tanah Rancangan FELDA akhirnya
dianggap sebagai pengiktirafan baharu kepada perubahan peranan dan tugas Imam
Saad seolah-olah beliuau dinaikkan pangkat menjadi Imam Kerajaan di Pekan
Tualang (tidak disedari oleh Imam Saad).
HC2:
Kerjasama daripada Sudin, YB Muhd Yusof, Pegawai Kadi Daerah Kuala, Pegawai
FELDA, Pegawai Daerah menjadi senjata Encik Muhammad untuk mengekang dominasi
kumpulan Lebai Maarop dan Imam Saad yang dianggap mengharu birukan perancangan
Encik Muhammad dan Sani untuk menubuhkan seberapa segera Syarikat Lombong
Lembah Tualang. Hal ini disebabkan Imam Saad dan rakan-rakannya yang lain
mendengar khabar angin bahawa Encik Muhammad merancangkan pembinaan hotel dan
perniagaan yang bakal mengundang maksiat seperti penzinaan, pelacuran,
perjudian, kelab malam dan sebagainya.
Kesimpulan: Pergerakan status Imam Saad menjadi Imam kerajaan dianggap satu
penghormatan oleh orang Kampung Pulai dan Pekan Tualang yang melihat Imam Saad
diiktiraf sebagai orang yang mampu membuat perubahan di tempat yang baharu.
F6: Sani berjaya ditempatkan dalam kelompok
golongan Melayu yang berpendapatan sederhana apabila dia menggantikan tugas Sudin sebelum ini yang
bertindak sebagai “runner” dalam
urusan perniagaan Encik Muhammad.
HC1:
Asalnya dia diheret dengan masalah hutang kerana salah percaturan dalam
perniagaan luar negara yang ingin diceburinya. Dia meminta bantuan untuk
mencari sumber kewangan “finance”
daripada Sudin bagi membantunya menyelesaikan masalah pembiayaan kewangan
sebanyak Sembilan ribu yang diperlukannnya untuk mengadakan dagangan dengan
syarikat antarabangsa
HC2:
Sudin dan Encik Muhammad bijak memerangkap Sani yang memerlukan wang dengan
segera. Bagai orang mengantuk dirongkan bantal, peluang ini dihidu dengan baik
oleh Sudin dan Encik Muhammad. Mereka mempengaruhi Sani agar pulang dan menetap di Pekan Tualang
sambil mendesak bapanya berhenti dan bersara menjadi imam kerajaan di Pekan
Tualang bagi membolehkan Imam Saad. Imam saad mesti dipisahkan daripada Lebai
Maarop agar peranan Imam saad menghasut penduduk kampung Pulai untuk menentang
projek Encik Muhammad dapat ditamatkan
seberapa segera.
Kesimpulan: Kedudukan Sani dalam kelompok masyarakat telah berubah menjadi lebih
baik dengan menerima jawatan dan gaji yang tetap yang diberikan oleh Encik
Muhammad sebagai pekerja di syarikatnya. Kehidupannya tidak lagi sukar seperti
sebelum ini ketika mana dia tinggal di Kuala Lumpur menjadi broker tanah dan broker kereta sama seperti perkerjaan yang pernah
dilakukan oleh Sudin.
F7: Penghulu Mahmud telah berubah fungsi,
peranan dan kedudukannya setelah dia berjaya dilantik memegang jawatan yang
pernah disandang oleh orang tuanya iaitu Orangkaya Datuk Indera Mohd Saman
iaitu menjadi salah seorang wakil Sultan DYMM Sultan Perak yang diberi amanah menjaga
daerah Kuala Kangsar.
HC1:
Pelantikan Penghulu Mahmud sebagai Orangkaya Datuk Indera Mahmud adalah seperti
yang dirancangkan dan diingini oleh Datuk Tan, Encik Muhammad, YB Muhd Yusof
dan Sudin agar DYMM Sultan memandang tinggi peranan Penghulu Mahmud dan
merestui projek perlombongan yang bakal diusahakan di Lembah Tualang dan Kampun
Pulai.
HC2:
Perubahan taraf, pangkat dan status Penghulu Mahmud telah menjadi kebangaan
masyarakat setempat dan kaum keluarga Encik Muhammad kerana jawatan ini
seharusnya terus kekal sebagai legasi keluarga mereka sebagai warisan pangkat
turun temurun.
Kesimpulan:
Perubahan status sosial Penghulu Mahmud
menyandang jawatan Orangkaya Datuk Indera telah menaikkan statusnya setara
dengan pembesar negeri dan menjadi orang kenamaan istana. Dia bukan lagi
bertaraf penghulu tetapi menjadi wakil Sultan yang rasmi bagi menjaga wilayah
yang lebih besar iaitu seluruh daerah Kuala Kangsar.
F8: Tuk Empat Dahlan bapa saudara Mat Akil
dilantik sebagai pengganti Penghulu Mahmud yang dinaikkan pangkat sebagai
Orangkaya Datuk Indera Mahmud. Dengan pelantikan ini taraf Tuk Empat Dahlan
telah meningkat kerana dia bakal menjaga seluruh daerah Pekan Tualang dan
Kampung Pulai.
HC1:
Encik Muhammad telah merancangkan bersama-sama dengan Pegawai Daerah Kuala
Kangsar agar Tuk Empat Dahlan dijadikan Penghulu. Sebenarnya pelantikan ini
juga ada motifnya iaitu ingin memecahkan dominasi kelompok golongan agama yang
diketuai oleh Imam Saad dan Lebai Maarop yang sering menghasut agar menentang
projek Encik Muhammad.
HC2:
Tujuan pelantikan ini juga bertujuan untuk menimbulkan kebanggaan Mat Akil
bahawa bapa saudaranya Tuk Empat Dahlan dilantik sebagai penghulu, dan dia
bakal menjadikan posisi ini sebagai “dahan tempat bergantung” untuk meraih
rezeki dengan kenaikan pangkat bapa
saudaranya itu. Hal ini untuk mengalihkan tumpuan agar dia tidak bergeser
dengan Sudin yang telah menjadi “anak saudara” kepada Encik Muhammad dan
Orangkaya Datuk Indera Mahmud yang dianggap sebagai “lubuk rezeki” kepada
Sudin. Jadi, dengan kenaikan pangkat
bapa saudaranya itu, Mat Akil tidak terasa bahawa dirinya dan keluarga Sudin
“jarak sosial” tidaklah terlalu jauh.
Kesimpulan:
Pelantikan Tuk Empat Dahlan sebagai
penghulu Pekan Tualang, melonjakkan tarafnya daripada menjaga Kampung Pulai
kepada menjaga daerah kekuasaan yang lebih besar iaitu menjaga hal ehwal dan
keselamatan penduduk Pekan Tualang. Kehidupan Tuk Empat Dahlan dijangka akan
bertambah baik sehubungan dengan jawatan baru yang disandangnya.
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial Menurun)
F9: Mat Akil menurunkan darjah
penghormatannya di sisi masyarakat apabila terlibat dalam gejala “samseng” /
jenayah dengan menikam dan menganiaya Lebai Maarop (membaling batu ke muka
Lebai Maarop). Dia dipenjarakan bersama-sama rakannya iaitu Man, Kemat
Jerangkung dan yang lain-lain.
HC1:
Mat Akil menerima padah dengan kegiatan tidak bermoralnya, mencuri duit tabung
ibu saudaranya (isteri Tuk Empat Dahlan), mencemari cadar perkahwinan Sudin dan
Gayah dengan najisnya, memukul curi Sudin kerana dendam apabila mendengar
khabar Sudin melarikan Gayah, menikam Lebai Maarop dan sebagainya. Dia sendiri
telah mencemarkan dirinya sebagai anggota masyarakat yang tidak bermoral dan
tidak bertanggungjawab.
Kesimpulan:
Dengan memasuki lokap bermakna Mat Akil bakal disabitkan dengan kesalahan
jenayah dan sekiranya dia didapati bersalah dia bakal dipenjarakan untuk tempoh
yang panjang dan bakal bergelar banduan. Keadaan ini dengan sendirinya bermakna
berlaku perubahan status sosial yang lebih rendah kepada Mat Akil.
F10: Sharifah Mahani menurunkan darjatnya
dari segi nasab keturunan sheikh atau sayyid/syed apabila sanggup berkahwin
dengan Rahim anak Encik Muhammad yang bukannya berdarah Arab.
HC1:
Kebiasaannya untuk mengekalkan gelaran syed atau sharifah kedua-dua pasangan
haruslah daripada keturuan Arab yang sama. Namun demikian Rahim bukanlah
berketurunan Arab.
HC2:
Walaupun dari segi kekayaan dan gelaran pangkat tiada kurangnya kepada kedua-dua
pihak iaitu Rahim dan Sharifah Mahani, namun dari segi hubungan nasab/keturunan
sudah pasti akan berubah sekiranya mereka menimang cahaya mata kerana mungkin
anak yang bakal lahir tidak wajar dikekalkan gelaran “syed” atau “sharifah”
sebagaimana status kedua ibu bapanya (Sharifah Naimah & Sharifah Muinah dan
bapanya Syed Aris).
Kesimpulan: Jalinan hubungan Sharifah Mahani dengan
Rahim jelas bakal menurunkan status sosialnya kerana sekiranya dia berkahwin,
status zuriat yang bakal dilahirkan tiada lagi gelaran “syed” dan “sharifah”
yang boleh dikekalkan untuk nama/gelaran nasab keturunan anak-anak mereka.
**Nota: Huraian dan Contoh seharusnya
bersifat selektif (jangan sumbat semua dalam huraian – dibimbangi huraian dan
contoh menjadi terlalu panjang. Pilih 1 atau 2 HC sahaja).
Pilih
mana-mana 5 isi sahaja: 5F x 2 markah = 10 markah, 5HC x 2 markah = 10 markah.
Markah keseluruhan isi = 20 markah. Pendahuluan = 3 markah, Penutup = 2 markah.
** Huraian + Contoh : Mohon guru modified / edit
sekiranya tersalah fakta dan bercanggah.
Kesimpulan: (2
markah)
·
Mobiliti sosial penting untuk mengukur peranan
dan penghormatan seseorang watak ketika berada dalam kelompok masyarakatnya.
·
Mobiliti sosial boleh berubah kea rah yang lebih
baik ataupun sebaliknya atau mungkin static sahaja bergantung kepada peranan
yang dimainkan oleh individu/watak dalam kelompok masyarakatnya
·
Mobiliti sosial penting untuk kelangsungan
status generasi seterusnya, Sekiranya mobiliti sosial akan menurun angkara
generasi awal, sudah tentu hal ini memberikan kesan yang tidak baik kepada
generasi yang ditinggalkan. Barangkali generasi yang ditinggalkan akan menerima
penghinaan, kejian dan layanan yang kurang baik sehingga menjejaskan kehidupan
rutin mereka.
No comments:
Post a Comment