Ekonomi dalam
Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)
Kegiatan ekonomi yang penting bagi teks Sulalatus Salatin dikaitkan dengan kegiatan pertanian. Bukit Siguntang adalah kawasan perhumaan yang menggambarkan wujud kegiatan pertanian dan cita masyarakat setempat yang ingin kaya raya punya emas segala. Lalu anganan para penduduk yang ingin kaya raya itu diimaginasikan melalui cerita ajaib dengan harapan menjadi kenyataan. Kedatangan keturunan raja Melaka dikatakan telah mengubah tanaman berkenaan iaitu pokok padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa.
Sejarah Melayu juga
telah mengemukakan aspek ekonomi lampau yang menjurus kepada sistem ekonomi
sara diri sebagaimana yang digambarkan dalam cerita Badang. Badang digambarkan
sebagai seorang penangkap ikan yang berperang dengan unsur alam termasuk unsur
ghaib seperti hantu. Persoalan tentang kaedah untuk mendapat sumber pendapatan
ini ditunjukkan bagaimana Badang menggunakan lukah untuk menangkap ikan. Namun
lukahnya sering tidak berhasil dan rosak kerana ada faktor halangan yang
diungkap melalui kehadiran seekor hantu.
Berikutan diri Badang yang semakin kuat kudratnya, kegiatan ekonominya bertukar menjadi seorang yang mampu membersihkan kebun dan hutan. Lalu sebahagian masyarakat memanfaatkan kemampuan Badang yang perkasa untuk tujuan aktiviti pertanian mereka. Kekuatan Badang juga adalah gambaran cita-cita masyarakat pada masa itu yang mengharapkan teknologi tertentu yang memudahkan kerja seharian mereka dengan mengimaginasikan Badang menjadi kuat kerana makan muntah hantu. Jika dilihat pada masa kini, Badang yang dimaksudkan kini adalah sebuah jentera berat yang juga mampu melakukan kerja dengan mudah dan pantas.
Badang adalah sumber manusia yang lebih dikenali sebagai buruh dalam istilah ekonomi. Dia adalah pekerja yang berkesan kerana sifatnya yang rajin. Malah Badang juga adalah pekerja yang sangat produktif kerana kuat bekerja dan mempunyai kekuatan. Sebagai sumber ekonomi yang penting, Badang telah menyubangkan sesuatu yang bermakna demi keajuan sesebuah penempatan iaitu di negara Singapura. Sekiranya seorang yang bernama Badang mampu memberikan sumbangannya dengan maksimum, sudah tentu jika wujud ramai orang seperti Badang, sesebuah negara akan terus maju dan lebih makmur. Jika keadaan berlaku sebaliknya, kemungkinan yang akan berlaku juga menjadi sebaliknya. Negara akan mundur dan tidak mampu menjana pendapatan negara yang lebih tinggi kerana masyarakatnya malas dan bersifat lemah.
Terdapat juga unsur ekonomi yang berkait dengan perniagaan yang dapat dibuktikan melalui aktiviti pedagang Arab yang datang berniaga di Melaka dan pada masa yang sama mengembangkan agama Islam. Usaha golongan peniaga yang datang ke Melaka bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan para pedagang, malah ia akan mampu memberikan peluang kepada penduduk tempatan dari sudut memenuhi keperluan hidup samada dalam bentuk barangan ataupun perkhidmatan. Jika orang Melaka ingin mendapatkan pakaian, maka para pedagang akan dapat memenuhi kehendak mereka. Jika Melaka memerlukan sejumlah barangan yang lebih banyak, maka kegiatan import perlu dilakukan. Hal ini telah dilakukan oleh Sultan Mahmud, di mana beliau telah mengarahkan Hang Nadim supaya membeli kain di India. Hang Nadim telah diminta membeli 40 jenis kain dengan 40 warna. Setiap jenis kain pula mengandungi mengandungi 40 corak. Malangnya usaha terebut tidak berjaya, kerana kapal Hang Nadim telah tenggelam dipukul ribut.
Perkataan
"mengenali dagang dan santeri" adalah menggambarkan betapa pembesar
negara amat menjaga kepentingan golongan peniaga. Golongan peniaga dianggap
sebagai sangat penting kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara.
Banyak golongan berkepentingan (stakeholder) yang mengharapkan sumbangan
kekayaan peniaga. Namun malangnya keadaan menjadi tidak terkawal dan wujudlah
rasuah dan pembunuhan. Hal ini boleh memberi kesan kepada kejatuhan negara
seperti Melaka. Oleh itu negara kita juga harus menghindarkan diri dari rasuah
kerana ia boleh mengundang kepada salah satu sebab kejatuhan negara.
Kesimpulannya, kegiatan ekonomi yang
dapat dikaji berdasarkan Sejarah Melayu ini adalah tertumpu kepada kegiatan
pertanian, perdagangan, import barangan dan juga urusniaga di pelabuhan.
No comments:
Post a Comment